Search

Tadahan air semakin berkurangan, ratusan penduduk Kampung Kionsom terjejas

March 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai kira-kira 100 penduduk kampung di sekitar Kampung Kionsom, di Inanam, dekat sini, berdepan masalah kekurangan air berikutan tadahan air di Sungai Kiapad yang semakin berkurangan.

Ia berikutan kemarau berpanjangan sejak beberapa bulan lalu sehingga menjejaskan bekalan air kepada penduduk kampung yang menggunakan sistem air graviti.

Penjaga sistem air graviti Yami Baga berkata, keadaan cuaca kemarau sekarang menyebabkan air sungai semakin kering dan jika ianya berterusan, penduduk yang terjejas tidak akan mendapat bekalan air yang mencukupi.

“Hujan sekejap pada Rabu tidak banyak memberikan air kepada sumber air graviti Sungai Kiapad, Kionsom di sini. Air sungai kini semakin kering kerana kurang air hujan sejak tiga bulan yang lalu,” katanya, hari ini.

Yami Baga adalah penjaga paip air kepada penduduk di Kampung Kionsom, Talimakas, Korumbian dan Kionsom Lama.

Terdapat sebanyak kira-kira 60 rumah yang menerima bekalan daripada sumber air graviti di kawasan berkenaan.

Dalam keadaan cuaca kering sekarang, catuan saluran bekalan air juga kini terpaksa dibuat agar semua penduduk yang menggunakan sistem itu mendapat air.

Yami berkata, penggiliran saluran air dibuat setiap enam jam iaitu selepas tangki besar penuh daripada air yang dikumpul daripada sungai yang semakin kering.

Pada masa yang sama, katanya, ketika air disalirkan ke dalam tangki besar, penduduk juga akan mengumpul air untuk dimasukkan dalam tangki masing masing.

“Hanya dengan cara ini penduduk akan mendapat air keperluan seharian. Ini tugas yang sangat mencabar, tetapi kita puas hati apabila bekalan air tidak putus dan penduduk mendapat bekalan yang cukup.

“Namun jika cuaca panas seperti sekarang berterusan dan tiada air hujan, ini akan menjejaskan kesejahteraan penduduk di sini untuk memasak, mencuci dan menyiran hasil tanaman mereka,” katanya.

Yami menjaga paip graviti ini atas sokongan orang kampung, dengan bayaran yuran tahunan hanya RM7 satu keluarga atau satu rumah.

Menjaga air graviti adalah mencabar tetapi ia perlu dilakukan demi keselesaan orang kampung.

Menurut Yami, sistem bekalan air graviti di kampungnya dibina puluhan tahun yang lalu iaitu sejak pemerintahan Kerajaan Berjaya lagi.

Selama itu juga, katanya, banyak batang paip yang bocor dan banyak juga yang sudah diganti.

“Namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan bekalan air tidak putus. Salah satu inisiatif kami adalah mencari sumber air yang baharu,” katanya.

Yami berkata, penduduk di kampung terbabit juga pernah meluahkan masalah ini kepada Wakil Rakyat Inanam dan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Inanam, namun belum ada tindakan dilakukan.

“Penduduk sangat berharap, agar tindakan segera dilakukan untuk penyelesaian jangka panjang masalah kekurangan bekalan air ini di sini,” kata Yami.

Yami Baga

Beliau menambah, penyelesaian jangka pendek dibuat apabila mereka menerima sumbangan daripada Setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Roland Chia yang memberi lima gulung hos setebal 63mm.

Ia akan digunakan daripada tadahan air terjun hingga ke gerai air terjun. Namun dari tangki ke kawasan Talimakas dan Korumbiaan, ia masih memerlukan penambahbaikan sejauh 3.5 kilometer.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Shahelmey Yahya menjelaskan bekalan air sedia ada di empangan negeri mencukupi sehingga tempoh tiga bulan jika musim kemarau berpanjangan.

Namun katanya, jika kemarau semakin berpanjangan, Jabatan Air Sabah (JANS) akan melaksanakan catuan dan menyarankan untuk langkah-langkah penjimatan air.

“Jika kita sampai ke tahap kritikal mungkin alternatif seperti pembenihan awan akan dilaksanakan,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengeluarkan notis gangguan bekalan air membabitkan banyak kawasan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

Notis ini memberitahu mengenai pengurangan air terawat di Loji Rawatan Air Moyog disebabkan kerja penggantian filter media selama 10 hari.

Ini menggusarkan puluhan ribu penduduk. Mereka diminta menyimpan air yang mencukupi dan menggunakan air secara berhemat.

Awal tahun ini, Sabah diminta membuat persiapan awal termasuk mengambil langkah bersesuaian bagi menghadapi fenomena kekurangan hujan yang dijangka berlaku antara Januari hingga Mac tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata mengikut ramalan, Sabah menjadi satu-satunya negeri yang bakal berdepan keadaan pengurangan kadar taburan hujan bulanan hingga 20 peratus sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL). – Info X