PAPAR: Kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan untuk menambah paras air sungai, selain sumber air graviti penduduk.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata langkah itu juga bagi mengurangkan tahap kemasinan air Sungai Papar, di sini, yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau terpaksa ditutup.
Katanya, situasi kemarau yang berlarutan menyebabkan paras air sungai mulai menyusut, selain berlaku peningkatan tahap kemasinan berikutan kemasukan air laut.
“Kabinet negeri semalam bersetuju agar kita melaksanakan pembenihan awan di kawasan hulu sungai supaya air dapat bertambah dan seterusnya boleh memberi bekalan air kepada LRA yang terkesan dan mereka yang menggunakan air graviti,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di LRA Limbahau, di sini, hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pembenihan awan perlu dilaksanakan segera berikutan kemarau yang sedang berlaku dan dijangka berpanjangan sehingga dua bulan lagi bagi mengelak bekalan air menjadi kritikal.
Katanya, proses itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan menilai kebolehlaksanaannya.
Sementara itu, beliau berkata LRA Limbahau terpaksa ditutup sejak kira-kira 20 hari lalu berikutan tahap kemasinan air sungai yang tinggi hingga mencecah 2,899 miligram perliter (MGL) berbanding tahap maksimum 140 MGL.
Shahelmey berkata, keadaan itu menyebabkan daerah ini kekurangan 10 juta liter sehari (MLD) dan menjejaskan lebih 52,000 penduduk yang bergantung kepada bekalan air dari LRA Limbahau.
“Jadi ini yang menjadi punca kekurangan bekalan air di Papar. Berikutan itu, kita sudah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Pejabat Daerah Papar untuk mengagihkan air ke kawasan yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata, akibat penutupan LRA Limbahau, bekalan air kepada penduduk di daerah ini terpaksa ditampung menerusi LRA Kogopon.
Sebagai penyelesaian jangka panjang, katanya satu muka sauk atau ‘intake’ baharu perlu dibina di lokasi yang tidak dimasuki air masin di Sungai Papar bagi membekal air mentah untuk diproses di LRA Limbahau.
Katanya, projek itu dijangka mengambil masa antara enam hingga lapan bulan dan akan dilaksanakan sejurus mendapat peruntukan daripada kerajaan. – Info X