Search

Notis JANS mengelirukan, bekalan air di KK, Penampang, Putatan dijangka cukup

March 7, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Notis gangguan bekalan air yang dikeluarkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membabitkan pengguna di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan malam tadi kurang tepat dan mengelirukan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata syarikat konsesi yang melaksanakan penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Moyog masih mampu membekalkan air yang mencukupi.

Katanya, kekurangan dua juta liter sehari (MLD) disebabkan kerja penggantian penapis di LRA terbabit boleh ditampung menerusi bekalan tambahan yang disalurkan dari LRA Kasigui di Donggongon.

“Notis yang dikeluarkan JANS itu kurang jelas maksud yang disampaikan dan menimbulkan kekeliruan pengguna, kononnya akan berlaku gangguan bekalan air selama 10 hari.

“Saya sudah semak dengan pihak Jetama (syarikat konsesi air), memang kerja di LRA Moyog itu mesti dibuat, jika tidak mungkin akan menyebabkan gangguan teknikal pada masa depan.

“Namun, bekalan air hanya berkurang dua MLD dan Jetama juga memberi jaminan pihaknya akan menambah jumlah yang sama dari LRA Kasigui,” katanya ditemui media selepas meninjau LRA Limbahau yang terpaksa ditutup berikutan tahap kemasinan air yang tinggi, di sini, hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri diminta mengulas notis JANS yang tersebar sejak malam tadi mengenai jangkaan gangguan air selama 10 hari bermula hari ini hingga 16 Mac disebabkan kerja penggantian penapis di LRA Moyog.

Katanya, JANS sudah diarah menarik balik notis yang mengelirukan itu kerana menimbulkan panik dalam kalangan pengguna, khususnya yang tinggal di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, ribuan penduduk di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dijangka mengalami gangguan air berikutan pengurangan bekalan sebanyak dua MLD selama 10 hari, bermula hari ini.

Berdasarkan notis dikeluarkan JANS, pengurangan bekalan itu berpunca daripada kerja penggantian penapis di LRA Moyog, Penampang.

Kerja yang dijalankan di loji terbabit menyebabkan pengeluaran air bersih merosot daripada 189 MLD kepada 187 MLD bermula hari ini hingga 16 Mac depan. – Info X