KOTAKINABALU: Jalinan kerjasama polis dan penghantar p-hailing atau ‘rider’ adalah inisiatif terbaru yang memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah setempat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan lebih 90 peratus rider akan mendaftar dalam aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Katanya, ia bagi memastikan keberkesanan program berkenaan lebih berjaya dan mencapai matlamat selaras dengan slogan polis.
“Sepertimana slogan PDRM iaitu “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” kita membabitkan syarikat penghantar makanan bekerjasama dengan pihak polis dalam menangani jenayah di kawasan masing-masing.
“Umum mengetahui, rider berkerja dan bergerak ke seluruh kawasan tanpa mengira masa dan pergerakan mereka mampu membantu pihak PDRM memberi maklumat berkaitan kejadian yang berlaku di sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Conferencing Point Pondok Polis Beverly Hill dan Promosi VSP bersama penghantar makanan, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, sekiranya golongan rider mengesan sebarang kejadian kecemasan seperti kemalangan jalan raya, mereka juga boleh memberikan pertolongan awal bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
Katanya, pihaknya juga percaya rider mampu melaksanakan tanggungjawab untuk menggagalkan sebarang kegiatan jenayah di sesebuah kawasan.
“Sekiranya mengesan kegiatan mencurigakan atau perbuatan jenayah terutama kes pecah rumah, penghantar makanan ini boleh membunyikan hon atau melakukan perkara yang menarik perhatian penjenayah sehingga membatalkan niat untuk melakukan jenayah.
“Secara tidak langsung, penjenayah akan melarikan diri dan beredar dari kawasan terbabit dan tiada kes jenayah berlaku pada waktu terbabit,” katanya.
Jauteh berkata, pihak polis menggalakkan golongan rider untuk mendaftar secara sukarela bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di negeri ini.
“Melalui kerjasama ini juga mampu mengurangkan pelanggaran undang-undang berikutan pihak penghantar makanan akan segan melakukan jenayah termasuklah lumba haram atau pelanggaran kesalahan trafik.
“Ia berikutan adanya kesedaran jenayah yang tinggi dalam kalangan rider terbabit,” katanya. – Info X