Search

Lelaki maut, kereta bertembung lori 10 tan

March 7, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 55 Jalan Semporna – Tawau, di sini, petang tadi.

Mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.30 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera termasuk EMRS digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta yang bertembung dengan lori 10 tan.

“Terdapat seorang mangsa masih tersepit di dalam kereta berkenaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.46 petang,” katanya. – Info X