Search

Funfair diarah tutup serta-merta selepas pengunjung kemalangan

March 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis mengarahkan sebuah taman hiburan atau Funfair yang beroperasi di Kompleks Sukan Likas, di sini, ditutup serta-merta selepas berlaku kemalangan membabitkan pengunjung, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, penutupan itu bagi membolehkan pengendalinya memeriksa semula tahap keselamatan semua jenis permainan yang ditawarkan di taman hiburan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian kemalangan membabitkan salah sebuah tempat duduk permainan jenis ‘TAISTAR’ atau ‘Sotong Ride’

“Kedua-dua mangsa tercampak keluar dari tempat duduk dan terjatuh sejauh 15 meter dari tempat permainan ketika permainan itu sedang berpusing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, dua mangsa yang cedera membabitkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang mengalami kecederaan di kepala sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

Manakala katanya, mangsa kedua adalah seorang wanita berusia 29 tahun yang mengalami kecederaan luka di muka.

“Ambulans telah membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Funfair berkenaan beroperasi bermula dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam setiap hari.

Ia mula beroperasi pada 2 Februari 2024 hingga 10 Mac 2024.

Semalam, dua individu cedera selepas terjatuh dari salah satu permainan di pesta ria atau funfair di Kompleks Sukan Likas, di sini.

Dua mangsa lelaki dan wanita dewasa itu dipercayai terjatuh dari permainan ‘sotong ride’ ketika sedang bergerak.

Beberapa video dan gambar mengenai kejadian itu turut tular di laman sosial. – Info X