Search

Merotai, Taurid Taud ‘dihijaukan’ daripada aktiviti dadah tahun ini

March 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua lokasi yang dikenal pasti kawasan berisiko tinggi berlaku penyalahgunaan dadah, iaitu Merotai di Tawau dan Taurid Taud di Keningau diberi tumpuan untuk ‘dihijaukan’ pada tahun ini.

Perkara itu dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1, Tahun 2024 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pegawai Daerah Keningau dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dilantik sebagai Penyelaras Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di peringkat daerah bagi melaksanakan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di dua lokasi itu.

“Saya sangat berharap Pegawai Daerah selaku Pengerusi MTMD Daerah dapat bersama-sama merangka gerak kerja ke arah penghijauan kawasan masing-masing dan memberi penekanan secara serius ke atas usaha pengekalan pencapaian penghijauan KBT ini.

“Selain itu, dua kawasan yang lain iaitu Penampang dan Balung (Tawau) akan menjalani proses penghijauan pada 2025 agar isu penagihan dan pelencongan sosial di negeri ini dapat dikawal,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menekankan agar seluruh masyarakat di negeri ini bekerjasama dan berganding bahu untuk membanteras dadah demi masa depan anak muda, kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran negara.

Katanya, komitmen dan penglibatan aktif semua pihak dalam menangani penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial amat dituntut dan penting bagi mencapai hasrat Kerajaan untuk merealisasikan Dadah Terkawal 2025.

Jelasnya, kejayaan untuk mencapai Dadah Terkawal 2025 memerlukan kerjasama dan kesepaduan gerak kerja daripada semua pihak khususnya MTMD Peringkat Negeri dan Daerah, pemimpin politik dan komuniti, ketua jabatan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), komuniti setempat dan NGO.

“Pada tahun 2024, AADK menyediakan perancangan dan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang jelas dan realistik merangkumi semua bidang teras iaitu Program Rawatan dan Pemulihan serta Pencegahan dan Penguatkuasaan.

“Ia bagi memastikan hala tuju dan strategi utama dalam usaha pengurangan kadar penagih dadah sama ada penagih baharu atau berulang bagi mencapai Dadah Terkawal 2025 dapat dijayakan,” katanya.

Hajiji berkata, MTMD berjaya dilaksanakan di 28 daerah pada 2023 termasuk pelantikan 28 Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Sukarelawan Antidadah (SKUAD) Daerah yang menjadi penggerak komuniti dalam membantu AADK khususnya melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) serta Program Pencegahan dan Kesedaran Awam.

Beliau menegaskan kehadiran ke Mesyuarat MTMD adalah wajib dan Pengerusi MTMD Daerah perlu memastikan setiap ketua jabatan di peringkat daerah hadir dalam setiap mesyuarat yang dijadualkan.

“Ini adalah cara dan kaedah kita untuk ‘check and balance’ tindakan dan pelaksanaan setiap keputusan mesyuarat yang telah dipersetujui bersama.

“Kejayaan untuk mencapai Dadah Terkawal 2025 memerlukan kerjasama dan kesepaduan gerak kerja daripada semua pihak,” katanya.

Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah AADK Sabah, Nani Sikin. – Info X