SIPITANG: Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung PMP Baru, di sini, petang tadi semalam, namun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.17 petang itu, runtuhan tanah menjejaskan bahagian dapur sebuah rumah kediaman berukuran yang didiami empat penghuni.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira sembilan kilometer dan tiba pada jam 4.27 petang.
Menurutnya, rumah berkenaan dihuni dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa, namun kesemua penghuni berada dalam keadaan selamat dan tiada operasi menyelamat dijalankan.

“Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di lokasi kejadian dan menasihatkan penghuni supaya mengosongkan rumah sebagai langkah keselamatan.
“Selain itu, penghuni turut diingatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling berikutan risiko berlakunya runtuhan susulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemantauan turut dilakukan bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Electricity Sdn Bhd dan Pegawai Daerah.
Selain itu, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, turut hadir ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan semasa.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.05 malam selepas keadaan disahkan selamat sebelum anggota dan jentera kembali ke balai. – Info X