TAMPARULI: Pemilihan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli akan dilaksanakan dengan memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat secara langsung dalam proses pemilihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kepimpinan kampung yang dibentuk benar-benar mendapat sokongan dan penerimaan masyarakat setempat.
Menurutnya, satu mesyuarat telah diadakan pagi tadi bersama Pegawai Daerah Kecil (ADO) Tamparuli, Penolong Pegawai Mukim (PPM) Tamparuli serta kakitangan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli bagi membincangkan secara terperinci proses pemilihan JKKK dan Ketua Kampung di kawasan berkenaan.
“Pembentukan JKKK dan pelantikan Ketua Kampung amat penting bagi memastikan pentadbiran kampung berjalan dengan teratur serta berfungsi sebagai penghubung berkesan antara rakyat dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata, proses pemilihan akan mengambil kira pandangan, sokongan dan penerimaan penduduk kampung dengan penekanan terhadap integriti, keupayaan memimpin, penglibatan aktif dalam kerja kemasyarakatan serta komitmen berkhidmat kepada rakyat.
Tambahnya, pendekatan ini diharap dapat memperkukuhkan pengurusan kebajikan rakyat, menangani isu kampung secara berhemah serta merancang pembangunan kampung secara lebih tersusun dan berperingkat.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha membina kepimpinan kampung yang benar-benar berfungsi demi kepentingan seluruh rakyat DUN Tamparuli,” katanya. – Info X