KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah menahan 23 individu serta merampas ribuan peranti rokok elektronik, vape dan cecair e-liquid bernilai lebih RM635,000 menerusi Op Taring Alpha 3 yang dilaksanakan serentak di tujuh daerah di Sabah, kelmarin.
Operasi bersepadu yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu melibatkan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), dengan kekuatan seramai 170 pegawai dan anggota.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Beluran, Keningau dan Semporna bagi memperkasakan penguatkuasaan terhadap penjualan serta pemilikan rokok elektronik, vape dan cecair e-liquid secara haram.

“Hasil operasi berjaya menahan 23 individu berusia antara 20 hingga 35 tahun, terdiri daripada 18 lelaki dan lima wanita, semuanya warga tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Turut dirampas ialah 9,000 unit peranti rokok elektronik, 3,000 unit vape dan 1,915 unit cecair e-liquid dengan nilai rampasan dianggarkan RM635,262,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan pertama atau RM30,000 bagi kesalahan berulang, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Sebahagian kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500 atau perintah khidmat masyarakat, selain siasatan di bawah Ordinan Perlesenan Perdagangan 1949 oleh PBT.
“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Nor Omar berkata pihak polis akan terus komited dan konsisten membanteras aktiviti penyeludupan serta perniagaan haram di Sabah.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan penjualan serta pengedaran rokok elektronik, vape dan cecair e-liquid yang menyalahi undang-undang. – Info X