KOTA KINABALU: Kerajaan disaran bertindak segera untuk menangani situasi kemarau yang dijangka berpanjangan disebabkan fenomena el-nino di semua kawasan yang terjejas di Sabah.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata selain kebakaran hutan dan belukar, masalah utama yang perlu diberi perhatian ketika ini ialah bekalan air yang semakin kritikal.
Katanya, masalah air bukan saja berlaku di Papar yang menyebabkan daerah itu diisytihar sebagai kawasan bencana, malah turut berlaku di daerah lain, khususnya sekitar pantai barat negeri ini.
“Kita kena pastikan bahawa semua lokasi yang menghadapi fenomena el-nino atau kemarau ini diberi perhatian, sama ada kawasan itu diisytihar bencana atau tidak oleh pihak yang berkaitan.
“Ini kerana selain di Papar, kawasan lain seperti Sepanggar, Kota Belud dan daerah lain terutama di pantai barat turut mengalami masalah kebakaran dan sumber air yang terhad.
“Maknanya, kita mahu agar perhatian juga diberikan di kawasan lain ini sama seperti yang dilakukan di Papar,” katanya ditemui pada majlis berbuka puasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama anak yatim Rumah Amal Kasih dengan kerjasama Hotel Ming Garden di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, di sini, malam tadi.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata kawasannya juga berdepan masalah air yang kritikal disebabkan pengagihan air dari loji rawatan air (LRA) yang belum stabil dan kini ditambah lagi dengan kekeringan sumber air graviti penduduk di kawasan berbukit.
“Sebelum ini masalah air kita hanya berlaku di kawasan bawah, tapi sekarang ini terjangkit sudah di kawasan bukit di mana sumber air graviti semakin kurang disebabkan kemarau.
“Jadi saya fikir perlu ada satu kaedah bagi menghadapi masalah ini dengan baik. Kita kena pastikan supaya musim yang kritikal ini bekalan air mencukupi dan boleh diagihkan ke kawasan bukit,” katanya.
Sementara itu, katanya satu kaedah baharu perlu dilaksanakan bagi membantu penduduk di kawasan berbukit yang bergantung kepada sumber air graviti untuk kegunaan harian agar tidak terputus bekalan air ketika kemarau.
Katanya, kebanyakan sumber air graviti penduduk ketika ini tidak mampu bertahan ketika kemarau, menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air.
“Ini antara perkara yang saya fikir perlu kita masukkan dalam perancangan supaya apabila berlaku lagi perkara ini (kemarau) kita sudah siap sedia menghadapinya,” katanya. – Info X