KOTA KINABALU: Seorang wanita warga Taiwan cedera dalam kebakaran kilang pemprosesan plastik di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Jalan Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada 3.35 pagi itu, wanita berusia 60 tahun iaitu isteri kepada pemilik kilang berkenaan cedera ringan di bahagian tangan dan muka.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba I, Hamza Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.41 pagi.
Katanya, seramai 50 anggota termasuk pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Tuaran bersama empat jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan sebuah kilang pemprosesan plastik telah terbakar 90 peratus.
“Turut terbakar dua lori terbakar 15 peratus, sebuah lori lagi 50 peratus, Perodua Myvi terbakar sepenuhnya manakala Proton Waja terbakar 20 peratus,” katany ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran empat pancutan dengan sumber air dari jentera.
“Terdapat seorang mangsa wanita iaitu isteri kepada pemilik kilang cedera ringan di bahagian tanhan dan muka. Mangsa diberi rawatan oleh pasukan EMRS.
“Operasi terkawal pada 4.44 pagi dan ditamatkan pada jam 8.13 pagi ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian. – Info X