Search

Tangkapan 2 lelaki, polis Papar selesai banyak kes pecah rumah

August 6, 2023

Junaidi Ladjana

PAPAR: Polis percaya berjaya menyelesaikan banyak kes pecah rumah dan curi kenderaan di daerah ini dan beberapa daerah lain di negeri ini selepas menahan dua lelaki warga Filipina dalam serbuan, semalam.

Suspek warga Filipina berusia 27 dan 36 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar di sebuah rumah di Taman Tulip, di sini, pada 4.30 petang.

Antara barang yang dirampas hasil penahanan dua suspek pecah rumah di Papar. – Foto/IPD Papar

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, penahanan itu dilakukan hasil laporan seorang pemilik rumah yang dipecah masuk di Jalan Papar Lama, Kinarut, pada 29 Julai lalu.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan beberapa barang berharga dan kerugian kira-kira RM4,500.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar melakukan serbuan di Taman Tulip, di sini dan berjaya menahan dua lelaki.

“Pasukan serbuan turut merampas pelbagai barang-barang disyaki hasil pecah rumah sekitar daerah ini, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang masih dilaporkan hilang di Kota Kinabalu turut dirampas.

Peralatan disyaki digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah pecah rumah. – Foto/IPD Papar

“Selain itu, hasil tangkapan terbabit, polis berjaya merampas satu unit komputer riba berkait dengan laporan polis yang diterima dari mangsa pecah rumah di papar.

“Kedua-dua suspek warga Filipina yang ditahan berperanan sebagai pencuri dan penyimpan barang curi,” katanya.

Kamaruddin berkata, polis percaya dengan penahanan Kedua-dua suspek ini, berjaya menyelesaikan banyak kes pecah rumah yang berlaku di daerah ini, Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.

Kereta Perodua Myvi yang dilaporkan hilang turut dirampas. – Foto/IPD Papar

“Kedua-dua suspek masih di dalam reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, orang ramai dinasihati supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada IPD Papar di talian 088-912222 atau balai polis berdekatan sekiranya ada maklumat berkaitan aktiviti jenayah pecah rumah. – Info X