Search

Tarikh keputusan permohonan semakan kehakiman 40 peratus dijangka ditetapkan pada 7 Ogos

July 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi dijangka menetapkan tarikh untuk membuat keputusan permohonan semakan kehakiman hak 40 peratus hasil Sabah pada 7 Ogos depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid, menetapkan tarikh itu untuk semakan secara dalam talian (e-Review) bagi memberikan arahan lanjut berhubung permohonan berkenaan.

Tarikh 7 Ogos itu ditetapkan selepas selesai pendengaran penuh ‘substantive merits’ (isi kandungan utama) permohonan itu ketika prosiding di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Isnin.

Celestina berkata mahkamah kebiasaannya akan menyampaikan keputusan dalam tempoh empat minggu selepas hujahan terakhir, namun kes itu diberikan pengecualian.

Katanya, mahkamah memerlukan lebih masa untuk meneliti semua dokumen dan penghujahan yang dikemukakan sebelum membuat keputusan.

Ketika e-review pada 7 Ogos nanti, katanya mahkamah akan menentukan sama ada penjelasan lanjut diperlukan dan jika tidak, tarikh untuk penyampaian keputusan akan ditetapkan.

Sabah Law Society (SLS) memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan tuntutan 40 peratus terhadap Kerajaan Persekutuan pada Jun 2022.

Kemudian, pada November tahun yang sama, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan SLS untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman berkenaan.

Berikutan keputusan itu, Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan berkenaan.

Bagaimanapun, pada Jun 2024, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Kerajaan Persekutuan, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan SLS meneruskan semakan kehakiman.

Selepas itu, Kerajaan Persekutuan sekali lagi memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Namun, pada Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan itu dan kes dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran ‘substantive merits’.

SLS diwakili peguam utama Dr David Fung, Jeyan Marimuttu, Janice Lim, dan Grace Liew, manakala Kerajaan Persekutuan diwakili Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, Nurhafizza Azizan dan Azza Azmi bersama Peguam Persekutuan (FC) M Kogilam Bigai dan Nur Atirah Aiman Rahim.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Soh, bersama Peguam Negeri Devina Teo dan Roland Alik, mewakili Kerajaan Negeri Sabah. – Info X