Search

Wanita maut ketika melintas jalan

July 8, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang kafe maut selepas dirempuh kenderaan sebelum tercampak ke laluan kenderaan lain di hadapan sebuah bank di Jalan Masak, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, mangsa, Suzila Adip, 40, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Keningau di lokasi akibat kecederaan parah.

Difahamkan, mangsa bekerja di sebuah kafe berhampiran kawasan DIY, kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.

Rakaman video suasana di lokasi kejadian yang tular di media sosial menunjukkan jeritan pilu keluarga mangsa, sekali gus mengundang sebak dan simpati orang ramai.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melintas jalan sebelum dirempuh Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 52 tahun.

“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa melambung lalu tercampak di hadapan Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Keningau, untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua pemandu tidak disyaki mabuk namun sampel darah diambil untuk ujian toksikologi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, Inspektor Amiliyawati Amin di talian 017-5004724,” katanya. – Info X