KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan menempa satu lagi sejarah apabila buat julung kalinya ia diadakan di peringkat negeri Sarawak, semalam.
Sambutan yang sangat sinonim dengan Sabah itu berlangsung di Kuching, malam tadi, dengan pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.
Selain acara kemuncak Unduk Ngadau dan Sugandoi, pelbagai persembahan dan acara lain turut ‘dihidangkan’ kepada orang ramai yang hadir.
Kehadiran beberapa artis tempatan Sabah juga memeriahkan lagi sambutan berkenaan selain kemunculan penyanyi popular Francis Landong, Rey Kimara dan Pengurus stesen radio popular Kupikupi FM, Lester C Miol selaku juri pertandingan Sugandoi.
Sementara itu Snowdan berkata, inisiatif Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Sarawak dalam menganjurkan Pesta Kaamatan itu sangat dihargai.
“Perayaan ini menunjukkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak kerana budaya dan seninya adalah unik dan tinggi nilai estetikanya.
“Seperti yang kita ketahui Sabah dan Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya tetapi tetap hidup dengan harmoni. Ia harus dimartabatkan dan dijaga supaya seni budaya ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Pesta Kaamatan 2023 peringkat KDCA Sarawak, di Kuching, semalam.
Snowdan berkata lagi, perayaan seumpamanya merupakan antara faktor tarikan pelancong untuk berkunjung ke Sarawak dan Sabah.
Sementara itu Pengerusi KDCA Sarawak, Gundohing James Samid berkata persatuan berkenaan kini bergerak lebih aktif dengan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk para ahli.
“Kami telah merancang Pesta Kaamatan pada tahun ini dapat dianjurkan dalam kapasiti yang lebih besar untuk menghimpunkan lebih ramai warga KDCA di Sarawak,” katanya.
KDCA Sarawak mempunyai ahli berketurunan Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus yang menetap, bekerja dan belajar di Sarawak.

Dalam pada itu, Marylyn Velarie dan Presley Petrus menempa sejarah tersendiri apabila masing-masing dinobatkan sebagai juara Unduk Ngadau serta Sugandoi peringkat negeri Sarawak.
Kedua-dua pemenang itu juga bakal mewakili Sarawak ke pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi peringkat negeri yang akan berlangsung di KDCA, Penampang pada penghujung bulan ini. – Info X