Search

Tercampak dari Honda WR-V sebelum mangsa dihanyut arus deras

October 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemandu Honda WR-V yang ditemukan maut kira-kira dua kilometer dari lokasi keretanya terbabas di Jalan Pan Borneo Inanam, di sini, semalam dipercayai tercampak keluar sebelum dihanyutkan arus deras.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang semalam ketika mangsa Benny Chen Chun Hwa, 27, dalam perjalanan dari arah Penampang menuju Menggatal.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik tiba berhampiran simpang masuk Kampung Kawakaan, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.

Katanya, Honda WR-V itu kemudian melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam parit.

“Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh bomba terpaksa dihentikan sementara pada malam kejadian berikutan keadaan cuaca dan arus deras sebelum disambung semula pagi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 10.50 pagi berhubung penemuan mangsa di kawasan Kampung Kawakaan, Inanam.

“Mangsa ditemukan tersangkut pada kayu di dalam sungai, kira-kira dua kilometer dari lokasi kemalangan sebelum dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Shahrudin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas Honda WR-V dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit ketika hujan lebat, petang semalam.

Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video pengguna jalan raya yang menunjukkan kenderaan berkenaan berada di dalam parit di laluan Jalan Pan Borneo.

Beberapa individu turut dilihat berada di lokasi bagi membantu, sebelum sebuah kren digunakan untuk mengangkat kenderaan berkenaan keluar dari parit. – Info X