Search

Terus kekalkan perpaduan, bersama bangunkan Sabah – Ketua Menteri

April 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meminta rakyat di negeri ini agar terus mengekalkan perpaduan dan bersama-sama mengukuhkan iltizam untuk membangun dan memajukan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri yang dipimpinnya sejak lebih tiga tahun lalu mengharungi pelbagai bentuk ujian dan cabaran.

“Bermula serangan pandemik hinggalah membawa kepada isu ekonomi dan pergolakan politik. Namun, berkat kesabaran, kecekalan dan perpaduan dalam kalangan rakyat, semuanya kita hadapi dengan penuh tabah dan bijaksana.

“Dalam masa sama, saya juga berasa bangga kerana negeri Sabah yang dianugerahi kepelbagaian budaya dan kepercayaan, membolehkan kita hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Keadaan ini membuka ruang yang luas untuk kita mengeksploitasi keupayaan diri dan membawa keluarga, masyarakat, negeri serta negara ke tahap yang lebih baik.

“Inilah pentingnya keamanan biarpun berbeza agama, budaya dan kepercayaan,” katanya pada perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, di sini, hari ini.

Hajiji bersama jemaah menteri kerajaan negeri ketika rakaman takbir raya di Menara Kinabalu, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Hajiji turut mengingatkan rakyat negeri ini agar tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan petugas barisan hadapan yang tidak pernah jemu berkhidmat demi negara, termasuk pada musim perayaan.

“Tidak dilupakan kepada mereka yang serba kekurangan untuk terus diingati dan dibantu terutama pada musim perayaan ini.

“Saat ini juga adalah masanya untuk kita saling kunjung mengunjungi untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak keluarga, jemaah menteri dan kerajaan negeri mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya. – Info X