TAWAU: Tindakan bot tunda dan lori tangki dipercayai melakukan operasi pemindahan 10,000 liter minyak diesel secara haram menerima padah apabila ditahan pihak berkuasa di perairan Tanjung Batu, di sini, pagi tadi.
Bot tunda dan lori tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran, jam 2.10 pagi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, melalui maklumat perisikan, bot peronda APMM Tawau yang menjalankan Op Khas Pagar Laut, Op Pluto Timur dan Op Tiris menerima makluman dari unit risikan Zon Maritim Tawau mengenai aktiviti pemindahan minyak di Jeti Komsa, Tanjung Batu.
Katanya, sejurus menerima maklumat dalam keadaan bergelap, bot peronda APMM bertindak ke lokasi dan mendapati sebuah lori tangki berada di jeti terbabit sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak ke sebuah bot tunda.
“Ketika serbuan oleh bot peronda, semua suspek di lokasi ditahan membabitkan seorang ketua kapal warga Myanmar bersama empat awak-awak yang masing-masing dua warga Indonesia, satu warga Myanmar dan satu agi warga tempatan.
“Manakala seorang lagi pemandu lori warga tempatan turut ditahan. Semua suspek lelaki berikut berusia dalam lingkungan 32 hingga 57 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dokumentasi selanjutnya mendapati tiada sebarang dokumen berkaitan aktiviti pemindahan minyak yang dilakukan.
“Bot tunda dan lori tangki itu seterusnya ditahan bersama muatan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes diserahkan kepada
pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat dibawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 kerana menjalankan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran.
“Nilai rampasan termasuk bot tunda, lori tangki dan muatan dianggarkan hampir RM250,000,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan komuniti setempat mematuhi peruntukan undang-undang di zon maritim negara.
“Orang ramai boleh membuat aduan dan menyalurkan maklumat sebarang aktiviti jenayah di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750 116 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X