KOTA KINABALU: Pulang berhari raya di kampung disifatkan sebagai perjalanan yang mencabar bagi perantau di Sabah kerana terpaksa berdepan jalan raya berlubang, kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bukan itu saja, beliau berkata gangguan bekalan air dan elektrik juga bukan perkara yang luar biasa bagi rakyat di Sabah setiap kali musim perayaan berikutan sudah banyak kali insiden seumpama itu berlaku.
Katanya, ‘pengalaman’ kurang menyelesakan itu pasti menambah kesukaran yang ditanggung rakyat negeri ini ketika berdepan cabaran ekonomi yang memerlukan mereka lebih berhemah dan bersederhana menyambut Aidilfitri kali ini.

“Rakyat di negara ini berdepan dengan cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang menuntut umat Islam lebih berhemah dan bersedarhana dalam membuat persediaan menyambut hari Aidilfitri.
“Selain itu, rakyat di negeri ini juga akan berdepan dengan cabaran lain bagi mereka yang tinggal di bandar dan akan balik ke kampung halaman masing-masing.
“Mereka akan berdepan dengan cabaran insfrastruktur kerana terpaksa melalui jalan raya yang berlubang-lubang menyebabkan perjalanan menjadi tidak selesa, ditambah gangguan bekalan air bersih dan gangguan bekalan elektrik yang sedikit merencatkan sambutan Aidilfitri,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata berikutan itu umat Islam di Sabah perlu bersabar menerima keadaan tetapi pada masa yang sama perlu berfikir untuk melakukan perubahan terutama dalam menentukan kerajaan akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah bagaimanapun berkata umat Islam perlu bersyukur kerana masih dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana yang aman dan harmoni.
“Berbeza dengan keadaan umat Islam di negara lain yang terpaksa menyambutnya dalam keadaan tidak aman, terlibat dalam kancah peperangan dan kekurangan makanan, perubatan dan sebagainya sebagaimana yang menimpa rakyat Palestina ketika ini .
Katanya, sesuai dengan komposisi rakyat di negara ini khususnya di Sabah yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama, kedatangan Aidilfitri wajar dirai dengan kegembiraan dan amalan kunjungi mengunjungi sebagai jambatan perpaduan rakyat di negara ini.
“Sempana bulan baik hari baik ini saya mengajak rakyat khususnya di Sabah agar menolak pelbagai provokasi pihak tertentu terutamanya yang mengaitkan UMNO dengan budaya ekstrim dan sebagainya.
“Kenyataan yang tidak boleh diterima akal setelah UMNO bertapak di Sabah selama 33 tahun, dipimpin oleh anak Sabah malah ada bahagian yang dipimpin oleh masyarakat Kadazandusun Murut (KDM),” tegasnya. – Info X