Search

Tiada aduan pelitup muka, cecair sanitasi naik harga – KPDN Sabah

December 21, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan ketika ini, namun tiada sebarang aduan ataupun laporan berhubung kenaikan harga dan kekurangan bekalan pelitup muka, cecair sanitasi dan kit ujian kendiri Covid-19 di negeri ini.

Bahkan, keadaan di pasaran juga tidak berlaku sebarang pembelian panik daripada pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung trend kes Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat setiap hari ini negeri ini.

Katanya, berdasarkan kepada pengedaran dan penjualan pelitup muka, cecair sanitasi serta kit ujian kendiri Covid-19 di negeri ini mendapati ada dijual di pasaran sama ada di farmasi atau pasar raya pada harga yang murah dan berpatutan.

“Setakat ini, KPDN Sabah tiada menerima sebarang aduan ataupun laporan berhubung kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan berkenaan di pasaran.

“Beberapa premis farmasi yang telah diperiksa juga memaklumkan permintaan terhadap ujian kendiri Covid-19 ada berlaku sedikit peningkatan permintaan, namun bekalan masih mencukupi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak farmasi juga sentiasa menambah stok bekalan daripada pembekal untuk menampung permintaan yang dijangka akan meningkat.

“Keadaan di pasaran juga tidak berlaku pembelian panik ‘panic buying’ daripada pengguna,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, anggota penguat kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya.

“Ia bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan barang-barang keperluan termasuk pelitup muka, cecair sanitasi dan kit ujian kendiri Covid-19 sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan.

“Selain memastikan keberadaan bekalannya di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang berpatutan,” katanya.

Jelasnya lagi, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2022 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Sehubungan itu, katanya KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga ataupun kekurangan bekalan barang kawalan. – Info X