KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan berlaku pertindihan fungsi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (Komuniti Desa Madani) atau JPKKP-KDM yang baru diwujudkan di negeri ini.
Beliau berkata, jawatankuasa baharu di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang turut dipanggil Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) itu tidak mengganggu tugas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada di setiap kampung di negeri ini.
“JKKK mengurus dan mentadbir di peringkat kampung dari segi keselamatan dan permohonan kampung sementara JKDM menyelaras program-program sosioekonomi dan juga keusahawanan bagi masyarakat kampung di Sabah khususnya.
“Matlamat kita ialah untuk membantu Sabah mengurangkan kemiskinan tegar di negeri ini. Ia juga berlaku di Semenanjung dan ia tidak bercanggah atau berlaku pertindihan jawatan dengan JKKK,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKKP-KDM, di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu menjawab kenyataan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mempersoalkan rasional pembentukan jawatankuasa itu memandangkan sudah ada JKKK di setiap kampung di negeri ini.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, baru-baru ini menyifatkan tindakan menubuhkan jawatankuasa baharu di bawah KKDW itu jelas tidak menghiraukan peranan dimainkan JKKK yang dilantik oleh kerajaan negeri.
Mengulas mengenai dakwaan Joniston itu, Bung Moktar menyifatkan pemimpin GRS membuat dakwaan tanpa menyemak maklumat selain tidak memahami kedudukan jawatankuasa baharu itu dan hanya menuduh sesuka hati.

“Pemimpin sebegini memang cetek fikiranlah sebab tanpa bertanya terus memutarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
“Jadi saya nyatakan bahawa tidak ada pertindihan dan dakwaan bahawa memecahbelahkan perpaduan itu tidak betul sebab UMNO dan Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti lain mengamalkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafri Arifin, berkata jawatankuasa baharu itu bukan hanya diwujudkan di Sabah, malah sudah dilaksanakan di beberapa negeri lain.
Katanya, pelantikan jawatankuasa itu dimulakan di Kedah pada 6 Mac lalu, disusuli Perlis pada 10 Mac, Kelantan (16 Mac), Pulau Pinang (20 Mac) dan yang terbaharu di Sabah yang dibuat secara simbolik oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 Mei lalu.
Sementara itu, pada majlis hari ini, penyerahan watikah pelantikan Pengerusi JPKKP-KDM membabitkan sebanyak 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki 43 kawasan DUN lagi akan dibuat dalam masa terdekat.
Selain wakil UMNO, watikah pelantikan turut membabitkan wakil Parti Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). – Info X