SANDAKAN: Seramai 11 individu termasuk tiga kanak-kanak terpaksa bertarung nyawa selama tiga hari di tengah lautan apabila bot dinaiki mereka terbalik sebelum hanyut ke perairan Filipina.
Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Perairan Sibutu, Filipina semalam, selepas sebelum itu mereka ditemui oleh sebuah kapal dagang.
Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) TLDM dalam kenyataan berkata, pihaknya pada Jumaat menerima maklumat sebuah Kapal Dagang Tomini Dynasty menjumpai 11 warga Malaysia di perairan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan maklumat yang diterima, bot dinaiki 11 mangsa telah terbalik akibat cuaca buruk.
“Kapal Diraja Paus (KD PAUS) telah diatur gerak untuk melaksanakan pertemuan bersama kapal dagang itu Tanjung Labian bagi mengambil kesemua mangsa yang terlibat.
“Mangsa kemudian dihantar ke Pulau Tambisan dan di serahkan kepada Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kenyataan itu turut berkongsi pengalaman cemas salah seorang mangsa dikenali sebagai Siti Naun Osman, 25.
“Menurut mangsa, dia bersama 10 lagi mangsa iaitu lima wanita dua lelaki dan tiga kanak-kanak dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada sebelah malam 29 Mac lalu.
“Namun bot yang dinaiki mereka telah terbalik dipukul ombak yang kuat.
“Mangsa terpaksa bertahan selama tiga hari dengan hanya duduk di atas bot yang terbalik sebelum ditemui kapal dagang,” katanya.
Sehubungan itu, TLDM mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa peka semasa berada di laut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku. – Info X