KOTA KINABALU: Tiga mekanisme dicadang bagi memacu pembangunan Sabah lebih inklusif dengan menumpukan aspek pentadbiran, ekonomi dan kebajikan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, pendekatan itu merangkumi pemerkasaan kapasiti penjawat awam profesional setaraf Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), kajian industri ikan air tawar serta pelaksanaan Skim Pembaikan Rumah Daif.
Katanya, kecekapan pentadbiran kerajaan banyak bergantung kepada keupayaan kumpulan profesional yang mampu menterjemah dasar kepada pelaksanaan berkesan.
“Penjawat awam perlu dilengkapi kemahiran analisis dasar, ekonomi, data, komunikasi strategik serta tadbir urus digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Perkara ini penting untuk memperkukuh kecekapan pentadbiran negeri dalam mendepani cabaran baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas sektor ekonomi, beliau yang juga Pengerusi Sabah Softwoods Berhad (SSB) berkata industri akuakultur air tawar mempunyai potensi besar sebagai pemangkin keterjaminan makanan dan peluang pekerjaan, khususnya di luar bandar.
Menurutnya, kelebihan geografi kawasan seperti Tempasuk boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan penglibatan komuniti dan golongan belia sebagai penggerak utama industri berkenaan.
“Permintaan bekalan ikan air tawar semakin meningkat seiring pertambahan penduduk. Ini peluang besar untuk jana ekonomi tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan Skim Pembaikan Rumah Daif bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang tinggal di rumah uzur.
Katanya, ramai penduduk memiliki rumah pusaka yang semakin usang namun tidak mampu menanggung kos pembaikan.
“Skim ini penting supaya golongan ini dapat tinggal dalam keadaan lebih selamat dan selesa,” katanya. – Info X