Search

Tiga warga emas terbabit sabung ayam ditahan

May 26, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Tiga lelaki warga emas ditahan ketika sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam di kawasan lapang di Kampung Sarapung, Kolopis, di sini, petang semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 64 hingga 74 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pada jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan menerusi Op Dadu itu dijalankan hasil maklumat berkaitan perjudian sabung ayam.

“Ketika serbuan dilakukan, semua kaki sabung bertempiaran lari selepas menyedari kehadiran polis. Namun tiga lelaki warga tempatan dapat ditahan.

“Pasukan serbuan turut merampas empat ekor ayam hidup, tiga unit sangkar ayam, satu unit gelanggang sabung ayam dan wang tunai sebanyak RM319,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan polis menyerbu lokasi sabung ayam di kawasan ladang di Kampung Sarapung, Kolopis, Penampang.

Menurutnya, semua suspek dan rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda atau penjara, jika disabitkan kesalahan.

“Sehubungan itu, polis meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara,” katanya. – Info X