Search

Tindakan boleh diambil terhad – Donald Peter Mojuntin

June 6, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli keluarga mangsa nahas pesawat Nomad dalam Tragedi Double Six pada 6 Jun 1976 berpendapat, tidak banyak tindakan yang dapat diambil oleh mereka selain mendesak penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung pendedahan laporan tragedi itu pada April lalu.

Anak seorang mangsa, Datuk Donald Peter Mojuntin, berkata tindakan undang-undang juga antara yang dipertimbangkan, namun setakat ini belum ada perbincangan lanjut semua ahli keluarga mangsa berhubung perkara itu.

Katanya, apa yang mereka harapkan ketika ini ialah untuk mendapatkan jawapan terhadap persoalan baharu yang timbul selepas laporan Malaysia dan Australia berhubung nahas pesawat itu dikeluarkan.

“Saya harap kita mendapat jawapan terhadap persoalan yang timbul, lepas itu baru ambil langkah seterusnya. Mesti ada usaha tertentu sebelum kita mengambil tindakan lanjut.

“Tidak kiralah apa tindakan yang diambil, sama ada undang-undang atau tindakan lain yang diputuskan ahli keluarga. Selain itu, apa lagi tindakan yang kita boleh ambil?

“Kita hanya berharap kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan untuk melakukan sesuatu, umpamanya usaha kerajaan kepada kerajaan (G2G) dengan Australia dan hal berkaitan dengan penerbangan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meletak kalungan bunga di hadapan Tugu Peringatan Double Six, di Sembulan, dekat sini, sempena memperingati 47 tahun nahas pesawat Nomad yang turut mengorbankan ayahnya, Datuk Peter Mojuntin yang ketika itu adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Sementara itu, Donald yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyifatkan tiada beza perasaannya hadir di tugu peringatan itu hari ini setelah laporan kes berkenaan didedahkan pada April lalu, berbanding sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata luka akibat penderitaan yang dialami mereka selama 47 tahun seolah-olah berdarah kembali memandangkan laporan yang dikeluarkan itu menimbulkan lebih banyak persoalan.

Katanya, harapan mereka untuk melihat kes tragedi itu selesai dengan pendedahan laporan berkenaan tidak kesampaian, sebaliknya kini mereka mahukan penjelasan lanjut berdasarkan laporan dikeluarkan Malaysia dan Australia pada April lalu.

“Kebenarannya bagi saya, selepas laporan itu keluar, kita masih rasa sama macam dulu, tergantung kerana berdasarkan laporan itu, ia perkara mudah seperti kesilapan juruterbang dan kegagalan peralatan atau apapun, sedangkan ia tidak menjawab soalan.

“Persoalan penting kenapa ini disembunyikan lebih 40 tahun, jika melihat kepada laporan tiada sebab ia disembunyikan. Jadi, sudah tentu keluarga rasa sedih tapi saya tidak salahkan sesiapa.

“Bayangkan, daripada dapat penutupan kes ini seperti kita harapkan sebelum ini, sebaliknya luka berdarah lagi kembali. Jadi, bagi saya, perasaan masih sama setiap kali kami hadir upacara ini,” katanya.

Sementara itu, bagi waris dua lagi mangsa, Faridah Stephens dan Kartina Sulong, mereka turut sependapat bahawa laporan itu menimbulkan lebih banyak persoalan yang perlu diberi penjelasan.

Mereka juga bersetuju agar semua ahli keluarga mangsa berbincang untuk mengenal pasti tindakan lanjut yang perlu diambil berhubung perkara itu selepas ini.

Faridah ialah anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens, manakala Kartina ialah anak bekas Menteri Kewangan Sabah, Datuk Salleh Sulong, iaitu antara 11 individu yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Lapan lagi yang terkorban ialah Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sabah, Datuk Chong Thien Vun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Darius Binion; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Wahid Peter Andau; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah, Dr Syed Hussein Wafa; Setiausaha Sulit Menteri Kewangan Persekutuan, Ishak Atan; pengawal peribadi Tun Fuad, Koperal Said Mohammad; anak Tun Fuad, Johari Stephens dan juruterbang, Ghandi J Nathan. – Info X