KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyokong apa saja tindakan ahli keluarga mangsa nahas pesawat Nomad dalam Tragedi Double Six selagi ia disifatkan sebagai perkara yang betul untuk dilakukan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan juga menyerahkan kepada keluarga mangsa mengenai tindakan lanjut mereka selepas laporan berhubung insiden itu dikeluarkan pada April lalu.
Katanya, ia berkaitan usaha mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung siasatan yang dibuat sebelum ini, termasuk persoalan mengenai kotak hitam pesawat.
“Saya fikir ia terpulang kepada keluarga (untuk meminta apa yang mereka mahukan). Kerajaan menyokong apa saja yang keluarga mereka mahu selagi ia adalah perkara yang betul dibuat,” katanya kepada pemberita selepas upacara memberi penghormatan kepada mangsa di Tugu Peringatan Double Six sempena 47 tahun kejadian nahas pesawat itu, di Sembulan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah II, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai serta waris atau ahli keluarga mangsa nahas pesawat berkenaan.
Sementara itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), sekali lagi membangkitkan persoalan mengenai kotak hitam pesawat berkenaan yang katanya mesti ada dalam setiap kapal terbang, termasuk pesawat jenis Nomad buatan Australia itu.
Katanya, laporan bahawa pesawat itu tidak dilengkapkan dengan kotak hitam menimbulkan persoalan memandangkan semua pesawat sepatutnya memiliki peralatan penting berkenaan.
“Saya ingat semua kapal terbang ada kotak hitam, setiap kapal terbang mesti ada kotak hitam,” katanya.
Beliau berkata, persoalan mengenai kotak hitam itu sangat penting kerana ia mungkin memberi maklumat yang lebih terperinci mengenai apa yang berlaku 47 tahun yang lalu.
Katanya, ramai yang masih tertanya-tanya sama ada kotak hitam itu hilang atau dihilangkan kerana sehingga kini tidak dapat dikesan.
“Sebab itu tidak hairanlah rakyat kita masih menunggu jawapan mengenai persoalan yang bermain di kepala mereka.
“Sekarang sudah 47 tahun, sudah begitu lama dan bagi pihak kerajaan, saya turut simpati dengan keluarga mangsa serta saudara dan rakyat kerana fikiran mereka belum tenang hingga sekarang.
“Jadi, saya harap satu hari nanti semua ini dapat diselesaikan sepenuhnya dan saya tidak percaya kotak hitam itu tidak boleh dicari.
“Insiden itu hanya berlaku di sini, tidak sukar mencari. Ia sepatutnya berada bersama kapal itu pada masa itu, jadi siapa yang mengambil kotak hitam itu,” katanya.
Terdahulu, Jeffrey mewakili kerajaan negeri meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Double Six sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.
Turut meletak kalungan bunga ialah ahli keluarga mangsa dan wakil Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), selaku penganjur majlis berkenaan.
Tragedi Double Six merujuk kepada nahas pesawat Nomad yang terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di perairan Kampung Sembulan, di tapak Tugu Peringatan Double Six sekarang pada 6 Jun 1976.
Ketika kejadian, pesawat berkenaan yang dinaiki Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Tun Fuad Stephens dan beberapa anggota Kabinet negeri dalam penerbangan dari Labuan.
Semua penumpang termasuk juruterbang pesawat berkenaan terkorban. – Info X