Search

Tingkatkan lagi kutipan hasil, Hajiji beritahu JKDM Sabah

March 15, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah perlu meningkatkan lagi pungutan hasil mereka pada tahun ini selepas berjaya mengutip lebih RM2 juta pada tahun lalu.

Katanya, peranan JKDM amat penting dalam pembangunan negara kerana kesemua hasil yang dikutip itu akan disalurkan untuk menjana projek-projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga JKDM Zon Sabah di atas kejayaan memungut hasil bagi tahun 2022. Saya berharap agar jumlah hasil pungutan ini dapat dipertingkatkan lagi bagi tahun 2023 ini.

“Walaupun tahun 2023 merupakan tahun mencabar untuk penjawat awam terutamanya dari segi ekonomi. Sebagai pemungut hasil utama negara sudah pasti JKDM akan menempuh pelbagai rintangan dan cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun sempena majlis Makan Malam Amal anjuran Persatuan Pegawai Kanan Kastam Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji percaya, selagi warga kastam terus bekerja dengan etika perkhidmatan jabatan iaitu Amanah, Berkhidmat, Ikhlas, dan Dedikasi (ABID), lebih banyak hasil dapat dikutip keranan slogan ABID juga dapat membantu meningkatkan prestasi dan keunggulan imej JKDM.

Katanya, JKDM layak digelar Wiran Ekonomi Negara atas komitmen dalam meningkatkan ekonomi negara, selain telah memainkan peranan yang penting dalam menyediakan fasilitasi dan kemudahan dalam menggiatkan pelabur luar terutama ke Sabah.

Beliau berkata, ekonomi gelap (black economy) yang wujud daripada aktiviti penyeludupan yang berleluasa daripada sumber yang menyalahi undang-undang sebuah negara perlu dihapuskan serta merta kerana ia memberi Impak yang negatif kepada negara.

Menurutnya, pihak Kastam harus sentiasa waspada dan bersiap sedia dalam usaha menghapuskan aktiviti penyeludupan dalam era dunia tanpa sempadan, yang menggunakan bantuan teknologi komunikasi dan maklumat terkini yang semakin canggih.

“Justeru usaha harus dilipatgandakan bagi membanteras setiap bentuk kegiatan penyeludupan di negeri ini. Saya percaya Kastam mempunyai kekuatan yang cukup dari segi tenaga manusia, logistik dan sistem bagi menangani aktivitinpenyeludupan di negeri ini.

“Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan ini untuk memastikan supaya hasil negara tidak jatuh ke tangan yang tidak berhak”, tegasnya. – Info X