BELURAN: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Jalan Kampung Pelantong, di sini, pagi tadi.
Mangsa Juslin Jussip, 45, yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.35 pagi, seramai sembilan anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, kemalangan membabitkan treler bertembung dengan Perodua Kelisa dan terdapat seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu Perodua Kelisa.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan rescue tools.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemeriksaan di kawasan kejadian dijalankan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain wujud.
“Operasi ditamatkan pada jam 10.30 pagi,” katanya. – Info X