Search

Tokan dadah tumpas, pasangan suami isteri antara enam ditahan JSJN Sabah

July 7, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Kegiatan sindiket pengedaran dadah di daerah ini terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri dalam beberapa serbuan berasingan, semalam.

Dalam operasi itu, polis turut merampas syabu seberat 161.49 gram dianggarkan bernilai RM16,000, selain menyita sebuah kereta Perodua Myvi dan beberapa telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 7 malam di Kampung Tanjung Kapor sebelum menahan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 32 tahun yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap salah seorang suspek menemukan empat paket syabu seberat keseluruhan 60.54 gram yang disimpan di dalam sebuah beg.

“Hasil tindakan susulan kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di kawasan PPR Taman Ehsan, Kudat bagi membantu siasatan.

“Dalam operasi berasingan kira-kira jam 8 malam, seorang wanita berusia 24 tahun turut ditahan di belakang Dewan Kampung Muhibbah bersama dua paket syabu seberat 100.95 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, penahanan wanita itu kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga suaminya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat pada malam sama.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala wanita terbabit didapati negatif.

“Semakan turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, JSJN Sabah akan terus mempergiatkan operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini, selain mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas.

“JSJN Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan aktiviti jenayah ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya. – Info X