Search

Warga emas maut kemalangan dua kenderaan

July 7, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang penunggang motosikal warga emas maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pantai Manis, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Satria yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari Pekan Papar menuju ke Pantai Manis.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, sebuah motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa dipercayai keluar dari sebuah simpang sebelum berlaku perlanggaran kerana jarak antara kedua-dua kenderaan terlalu dekat.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Proton Satria tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, berwaspada ketika memandu serta memastikan setiap pergerakan keluar masuk simpang dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar,” katanya. – Info X