Search

Toy Drive Hilton Kota Kinabalu bawa senyuman kepada kanak-kanak

December 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Semangat Krismas disemarakkan menerusi penganjuran Christmas Toy Drive anjuran Hilton Kota Kinabalu dengan kerjasama KDCA Youth Council dan KupiKupi FM, sekali gus membawa sinar kegembiraan kepada kanak-kanak daripada komuniti yang memerlukan, semalam.

Program kebajikan itu menyaksikan orang ramai, rakan kolaborasi serta sukarelawan tampil menyumbangkan pelbagai mainan yang dibungkus rapi dengan penuh kasih sayang dan harapan, sekali gus mencerminkan semangat keprihatinan masyarakat sempena musim perayaan.

Selain sumbangan fizikal, program berkenaan turut menjadi platform kebersamaan apabila para sukarelawan berkongsi senyuman dan kasih sayang bersama para penerima, yang mencerminkan makna sebenar sambutan Krismas tanpa mengira latar belakang.

Sebahagian besar sumbangan mainan itu turut disalurkan kepada kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, termasuk pesakit di beberapa wad utama seperti Melur 1, Melur 2, Melur 3 dan Kenanga 5.

Sementara itu, sumbangan kepada pesakit di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di Aras 3 diserahkan menerusi wakil pihak Hilton, memandangkan wad berkenaan menempatkan pesakit kritikal.

Secara keseluruhan, program berkenaan berjaya memberi manfaat kepada lebih 260 pesakit kanak-kanak, dengan pengagihan lebih 400 hadiah, selain sumbangan melebihi 100 lampin pakai buang.

Hilton Kota Kinabalu turut menyediakan minuman serta biskut kepada para penerima dan juga petugas hospital sebagai tanda penghargaan dan sokongan sepanjang program kebajikan berkenaan.

Selain itu, kehadiran watak adiwira Deadpool yang dibawakan oleh seorang sukarelawan dikenali sebagai Yohan turut menceriakan suasana, sekali gus menarik perhatian serta mengukir senyuman dalam kalangan kanak-kanak.

Penganjur merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat, termasuk rakan kolaborasi, sukarelawan dan para penyumbang, yang menjayakan inisiatif berkenaan sehingga memberi makna besar kepada para penerima.

“Setiap mainan membawa senyuman, setiap usaha membawa harapan,” menurut kenyataan penganjur sambil berharap agar kebaikan yang disemai melalui program itu terus berganda dan memberi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif kemasyarakatan pada masa akan datang. – Info X