Search

TPNS bawa sinar harapan kepada 20 pelatih Ascot Academy

July 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan dua tahun lalu membawa harapan masa depan kepada 20 pelatih Program Sijil Kompetensi Operasi Makanan & Minuman kelolaan Ascot Academy, di sini.

Pelatih yang datang dari pelbagai daerah seperti Kota Belud, Keningau, Tongod dan sekitar Kota Kinabalu itu ditaja sepenuhnya oleh TPNS bagi merealisasikan impian mereka menyertai kursus dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, ketika menyempurnakan penyampaian sijil kepada 20 pelatih terbabit, berkata mereka adalah antara 10,000 pelajar yang menerima manfaat daripada TPNS dalam tempoh dua tahun lalu.

“Hari ini kita meraikan 20 orang pelatih yang dibiayai sepenuhnya oleh Tabung Pendidikan Negeri Sabah atau TPNS. Tabung ini merupakan salah satu inisiatif di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Sejak dilancarkan dua tahun lalu, lebih 10,000 pelajar dari Sabah telah menerima manfaat menerusi tabung pendidikan ini.

“Bantuan daripada tabung pendidikan ini tidak terhad kepada pelajar yang meneruskan pembelajaran mereka ke insitusi pengajian tinggi bahkan tabung ini juga memberi bantuan kepada pelatih untuk mengikuti program TVET,” katanya pada majlis meraikan graduan Ascot Academy itu di Hotel Klagan 1 Borneo, di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Ascot Academy, Abdul Razak Egoh dan Pengurus Tabung Pendidikan Negeri Sabah, Mohd Shamsul Husry Abdul Wahid.

Arifin yang juga EXCO Pendidikan negeri, berkata inisiatif TPNS itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir daripada arus pendidikan.

Arifin menemui ibu bapa yang mengiringi anak menerima sijil tamat latihan di Ascot Academy.

Katanya, ia juga usaha yang jelas dilaksanakan kerajaan negeri ke arah memperkasa pembangunan modal insan menerusi program TVET yang mempunyai permintaan daripada industri.

“Saya juga dimaklumkan oleh pihak Ascot Academy bahawa pelatih-pelatih yang mengikuti program ini datang daripada pelbagai daerah di Sabah seperti Kota Belud, Keningau, Tongod dan sekitar Kota Kinabalu.

“Saya amat berbangga dengan semangat mereka yang berani keluar untuk menambah pengetahuan dan mempelajari kemahiran yang baharu.

“Saya juga berpendapat bahawa keputusan memilih bidang hospitaliti adalah sangat tepat kerana bidang ini menyokong industri pelancongan selaku antara industri yang amat penting di Sabah mahupun di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemilihan Ascot Academy untuk menjalankan program itu adalah tepat kerana pusat latihan berkenaan memang mengkhususkan dalam bidang hospitaliti dan sudah beroperasi selama 15 tahun.

“Saya mendapat tahu mereka juga mempunyai prestasi yang baik dalam memastikan pelatih keluaran mereka menjadi pekerja mahir dan kompeten serta mempunyai rakan industri yang komited untuk memenuhi kekosongan di organisasi mereka,” katanya.

Lebih membanggakan katanya, 20 pelatih terbabit sudah mendapat tawaran pekerjaan sebelum mereka tamat latihan.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua pelatih, nasihat saya, mulakan kerjaya tidak kira di mana lokasi pekerjaan tersebut. Jika semua mempunyai sikap yang baik, berdisiplin dan berkerja dengan rajin, ini semua boleh membantu untuk naik ke jawatan yang lebih baik lagi pada masa akan datang.

“Tahniah juga kepada Ascot Academy kerana menguruskan penempatan pekerjaan mereka bersama rakan-rakan industri di Sabah mahupun di Semenanjung.

“Usaha seperti inilah yang kita mahu daripada pusat latihan yang terpilih dan ini sekali gus membantu dalam menangani masalah pengangguran di kalangan belia Sabah kita.

“Kepada ibu bapa, ribuan terima kasih kerana membenarkan anak-anak mengikuti program ini dan saya harap agar semua merestui hasrat murni anak-anak untuk keluar berkerja.

“Teruskanlah memberi sokongan kepada mereka kerana dalam masa panjang, anak-anak inilah yang akan membantu anda semua,” katanya.

Arifin turut mengucapkan tahniah kepada wakil industri hospitaliti atas sokongan dan bantuan dalam memberikan peluang pekerjaan kepada pelatih Ascot Academy. – Info X