Search

Wanita maut terjatuh dari tingkat tujuh bangunan pusat beli belah

July 28, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang wanita maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli belah di daerah ini, tengah hari tadi.

Mangsa berusia 32 tahun itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di balkoni tingkat empat bangunan berkenaan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada pengurusan bangunan pada jam 12.27 tengah hari.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa lengkap berpakaian dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki.

“Mangsa warga Filipina disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memgalami tekanan akibat masalah rumah tangga.

“Setakat ini tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat dikesan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk bedah siasat,” katanya.

George berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Pasukan bomba turut membantu mengeluarkan mayat mangsa dari lokasi kejadian untuk diserahkan kepada pihak polis. – Info X