Search

Tragedi Double Six masih misteri, ada persoalan belum terjawab – Jeffrey

June 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata Tragedi Double Six masih lagi misteri walaupun laporannya sudah dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 12 April tahun lalu.

Katanya, masih ada beberapa persoalan yang memerlukan jawapan, bukan saja ketika nahas pesawat itu terjadi, malah peristiwa yang berlaku di negeri ini selepas insiden berkenaan.

“Sampai ke hari ni kejadian masih lagi misteri, jadi setiap tahun kita akan datang ke sini (Tugu Peringatan Double Six) untuk memperingati mangsa dan keluarga yang ditinggalkan.

“Tapi, impaknya kepada Sabah, kita masih lagi tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku dan kita perlukan jawapan,” katanya ditemui selepas Upacara Memperingati Tragedi Double Six di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri itu, berkata selepas insiden itu, Sabah bukan saja kehilangan separuh daripada anggota Kabinet negeri pada masa itu, malah beliau mendakwa turut kehilangan minyak.

“Saya tertanya sendiri kenapa pada 14 Jun 1976, mereka (pemimpin persekutuan) datang lagi untuk meminta kerajaan Sabah menandatangani perjanjian itu (berkaitan minyak) ketika kita masih berkabung.

“Ia menggambarkan perjanjian itu tidak ditandatangani dan tidak dipersetujui di Labuan oleh pemimpin kita,” katanya.

Pesawat jenis Nomad buatan Australia yang membawa Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Tun Fuad Stephen dan 10 penumpang lain, sebahagian besarnya anggota Kabinet negeri terhempas di pantai Kampung Sembulan, di sini, pada 6 Jun 1976.

Ketika kejadian, pesawat terbabit dalam penerbangan balik dari Labuan.

Jeffrey berkata, secara peribadi beliau kecewa apabila mendapati perjanjian yang ditandatangani selepas nahas pesawat terbabit adalah berkaitan persetujuan menyerahkan minyak Sabah kepada PETRONAS dengan hanya lima peratus royalti. – Info X