Search

Tragedi Lembah Maksina : Aktiviti ‘River Hiking’ tiada kelulusan, kata polis

May 6, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Aktiviti ‘River Hiking’ yang mengorbankan tiga individu di Lembah Maksina, Sungai Makuou, Tungku, di sini, malam tadi tidak mendapat sebarang kelulusan atau kebenaran daripada pihak Jabatan Perhutanan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang makluman dilaporkan kepada Balai Polis Tungku berkenaan aktiviti itu.

“Tambahan pula, tempat kejadian adalah di dalam hutan simpan Silabukan.

“Memasuki hutan simpan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Dzulbaharin berkata, bilik gerakan IPD Lahad Datu terima maklumat daripada panggilan MERS 999, memaklumkan kejadian 12 orang yang terbabit dalam aktiviti River Hiking terperangkap dalam insiden kepala air di Sungai Makuou, Tungku, jam 8.30 malam.

Katanya, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Tungku, tiba di lokasi kejadian di Kampung Makuou, Sungai Makuou jam 10.30 malam.

“Operasi menyelamat dimulakan oleh agensi yang terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tungku.

“Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan sembilan individu warga tempatan dan tiga juru pandu.

“Semua warga tempatan telah diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Tungku,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, peserta seramai 11 orang melakukan ‘River Hiking’ kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Empat juru pandu yang diketuai oleh penama Salleh telah ikut serta. Aktiviti River Hiking adalah satu aktiviti yang mencabar dan memerlukan ketahanan fizikal dan mental kerana peserta perlu berjalan dan berenang di dalam air dan perlu sentiasa memakai jaket keselamatan.

“Hasil siasatan juga 11 peserta adalah kakitangan syarikat kelapa sawit yang beroperasi di daerah ini manakala empat lagi juru pandu warga asing yang kerap kali digunapakai sebagai juru pandu dalam aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai tiga mangsa meninggal dunia kerana lemas iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang merupakan warga tempatan dan seorang juru pandu warga asing yang mempunyai pasport.

Sehubungan itu, katanya masyarakat adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dalam mengadakan sebarang aktiviti mencabar seumpama ini.

“Perlu mendapatkan kelulusan daripada agensi berkenaan dan memaklumkan kepada pihak polis.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk berjaga-jaga dalam aktiviti air ini berkenaan bahaya kepala air,” katanya. – Info X