Search

Tragedi Lembah Maksina: Mangsa selamat sempat berpaut di tebing sungai dan pokok

May 6, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Mangsa yang terselamat dalam tragedi kepala air ketika melakukan aktiviti riadah di Lembah Sungai Maksina dekat Tungku, di sini, sempat berpaut di tebing dan pokok besar.

Seorang daripada mangsa, Muhammad Azman Hamzah, 26, berkata kejadian itu berlaku terlalu cepat dan tidak sempat dielak berikutan aliran sungai yang mengalir deras.

Katanya, kejadian berlaku selepas hujan ketika mereka dalam perjalanan pulang menyusuri Lembah Sungai Maksina sebelum tiba-tiba terdengar bunyi deruan air sungai yang kuat dari hulu.

“Hanya beberapa minit selepas hujan, kami terdengar bunyi arus deras yang sangat kuat lalu berlari ke tebing dan berpaut namun kami dihanyutkan arus deras air sungai.

“Kami bernasib baik dapat berpaut pada sebatang pokok besar dan sempat naik untuk berlindung. Masa itu arus sangat deras,” katanya menceritakan detik cemas ketika dihanyutkan arus deras dalam tragedi kepala air di Lembah Sungai Maksina, Tungku, di sini.

Katanya, dia bersama 10 lagi peserta dan pemandu arah serta sekumpulan lagi individu memulakan aktviti River Hiking di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Ketika dalam perjalanan pulang, awan mulai mendung dan beberapa minit kemudian hujan. Ketika itu tiada apa yang berlaku dan kami meneruskan perjalanan di kawasan sungai berkenaan.

“Kira-kira jam 3.30 petang, saya terdengar bunyi arus deras sangat kuat dan menyedari itu adalah kepala air lalu berlari dan berpaut di tebing sungai namun dihanyutkan arus deras sungai.

“Masa dihanyutkan, kami berusaha ke tebing semula dan dapat berpaut pada sebatang pokok besar dan naik untuk berlindung,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya menyedari ada rakannya terkorban selepas berjaya diselamatkan pasukan bomba.

“Kami dimaklumkan, dua rakan kami dan guide terkorban. Ini pertama kali kami melakukan hiking di kawasan berkenaan.

“Tidak menyangka berlaku kejadian kepala air hingga meragut rakan kami,” katanya. – Info X