Search

Tujuh rumah musnah, anggota bomba cedera terpijak paku

February 18, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkalan Bukit Garam, di sini, malam tadi, manakala seorang anggota bomba cedera ketika operasi memadam kebakaran.

Kebakaran membabitkan deretan rumah dua tingkat dan satu tingkat dengan enam daripadanya terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi musnah kira-kira 20 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 malam sebelum seramai 17 anggota bersama tiga jentera segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi jam 10.21 malam, didapati kebakaran membabitkan tujuh rumah tidak kekal dengan api marak.

“Turut terlibat sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan air daripada jentera, pili bomba dan sumber air sungai.

Kebakaran rumah di Kampung Pangkalan Bukit Garam, Kinabatangan, malam tadi, manakala seorang anggota bomba cedera.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.40 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain.

“Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan 10 rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya seorang anggota bomba cedera di kaki kiri akibat terpijak paku ketika operasi.

“Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki kenderaan utiliti untuk rawatan lanjut.

“Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.

Operasi turut dibantu 14 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), dua petugas Sabah Electricity (SE) dan empat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – Info X