Search

Lima sekeluarga cedera, kenderaan jatuh gaung

February 18, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kampung Pituru Laut, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian itu, kenderaan jenis Isuzu D-Max berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan masuk ke dalam gaung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.01 malam.

Susulan itu, katanya seramai lapan anggota bersama satu jentera FRT dan satu unit EMRS segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 8.33 malam, didapati kemalangan membabitkan sebuah Isuzu D-Max yang terbabas sendiri dan masuk ke dalam gaung sedalam 15 meter.

“Semua lima mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dan dibawa naik ke atas jalan raya oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mangsa cedera dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 40 tahun, lelaki 44 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat, tujuh dan 10 tahun.

“Semua mangsa mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.07 malam,” katanya.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Rano Godol dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Info X