Search

APMM gagalkan seludup 540 karton minuman keras bernilai hampir RM200,000

February 17, 2026

Info X Reporters

LABUAN: Cubaan menyeludup 540 karton minuman keras berjenama bernilai hampir RM200,000 gagal apabila dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan dalam operasi di perairan Labuan, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, tiga bot mencurigakan dikesan 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan ketika rondaan Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0 dijalankan.

Pengarah APMM Zon Maritim Labuan, Izwanhadi Idros berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot-bot terbabit bertindak memecut laju bagi melarikan diri sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar.

Minuman keras yang dirampas APMM di perairan Labuan.

“Bot Petir 90 yang menjalankan rondaan berjaya mengesan tiga bot mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Ketika dihampiri, kesemua bot cuba melarikan diri. Dua daripadanya berpatah balik ke kawasan Methanol Labuan, manakala sebuah lagi tersadai di Pulau Balangkasan selepas dipercayai suspek melompat dan melarikan diri ke pulau itu,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan muatan sarat dengan minuman keras dipercayai tidak bercukai.

“Sebanyak 540 karton minuman keras berjenama dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM200,000.

“Bagaimanapun, tiada suspek berjaya ditahan selepas rondaan dilakukan di sekitar pulau berkenaan,” katanya.

Semua minuman keras yang dirampas dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

Izwanhadi berkata, bot bersama muatan rampasan dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut undang-undang penyeludupan serta peraturan kastam yang berkuat kuasa.

“APMM akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan negara.

“Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X