KUNAK: Tiga peniaga dikenakan tindakan undang-undang dalam Operasi Bersepadu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna bersama Bahagian Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Daerah Kunak (MDK), hari ini.
Operasi yang dilaksanakan susulan aduan pengguna itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang perdagangan serta peraturan kesihatan di premis sekitar daerah ini.
Seramai lima pegawai KPDN, sembilan pegawai KKM dan enam pegawai MDK terbabit dalam operasi berkenaan dengan pemeriksaan tertumpu kepada pasar raya, kedai runcit, restoran serta stesen minyak.

Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011.
“Dalam operasi sama, KKM turut mengeluarkan empat notis atas pelbagai kesalahan berkaitan peraturan kesihatan.
“Manakala Majlis Daerah Kunak mengeluarkan dua kompaun terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan KPDN akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang dan tidak melakukan penyelewengan terhadap barang kawalan atau manipulasi harga.
“KPDN kekal komited memastikan kestabilan bekalan, pematuhan harga serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang adil demi melindungi hak dan kesejahteraan pengguna,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian 1-800-886 800, emel [email protected] serta aplikasi Ez ADU KPDN.
Selain itu, aduan juga boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 atau 03-8882 6245, atau hadir terus ke pejabat KPDN berhampiran. – Info X