Search

Warga emas hilang ketika memukat, SAR masuk hari kedua

February 17, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya karam ketika menjalankan aktiviti memukat ikan di perairan Kampung Kuala, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Saimin Ongit, 60, yang sehingga kini masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, operasi hari kedua dimulakan pada jam 6.45 pagi tadi dengan menggunakan bot aluminium milik pasukan bomba.

Katanya, operasi pencarian diteruskan bersama agensi lain di sepanjang persisiran pantai dan kawasan perairan menggunakan bot secara menyeluruh.

“Pada jam 12 tengah hari, boya berwarna oren milik bot yang karam ditemui terapung kira-kira 300 meter dari pesisir pantai sebagai petunjuk tambahan operasi.

“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan dan akan disambung semula pada keesokan pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian semalam, mangsa bersama rakannya, Primus Ujim, 52, dilaporkan karam ketika memukat ikan.

Bagaimanapun, Primus berjaya ditemui dalam keadaan selamat, manakala Saimin masih belum dijumpai sehingga kini. – Info X