PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil, di sini, bukan saja berfungsi sebagai lokasi rasmi cerapan hilal, malah memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan dan penyelidikan falak di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata balai cerap itu berpotensi besar dibangunkan sebagai pusat pendidikan falak dan astronomi Islam yang lebih komprehensif.
“Balai cerap ini juga boleh dibangunkan sebagai pusat penyelidikan yang berdaya saing dan berteknologi tinggi serta destinasi pelancongan ilmu (astro-tourism) yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, aspek infrastruktur perlu dilengkapkan dengan kemudahan dan memenuhi standard yang sewajarnya.
“Ini termasuklah penambahbaikan fasiliti cerapan, ruang pameran interaktif, dewan pembelajaran, kemudahan pengunjung dan akses yang lebih mesra pelancong.
“Kerajaan negeri sedia membantu agar balai cerap ini mampu muncul sebagai antara ikon pelancongan ilmu di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Rukyah Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah) Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H / 2026M, di sini, pada Selasa.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji yakin dengan perancangan yang strategik dan kerjasama daripada pelbagai pihak, balai cerap itu bukan saja menjadi kebanggaan umat Islam, bahkan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah.
“Semoga generasi muda yang hadir pada hari ini dapat melihat bahawa bidang falak dan astronomi mempunyai ruang yang luas untuk diterokai, dan mampu menjadi satu kerjaya yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara” katanya.
Katanya, majlis yang berkait rapat dengan ibadah umat Islam itu bukan saja mempunyai nilai spiritual yang tinggi, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan urusan agama Islam diurus dengan penuh tanggungjawab, profesional dan berintegriti. – Info X