Tular curi bungkusan kiriman, kurang sembilan jam suspek ditahan

November 27, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Belum pun 24 jam selepas kejadian curi bungkusan kiriman yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial, seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian itu ditahan polis, semalam.

Perbuatan suspek yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kira-kira jam 2.19 petang, Rabu lalu, turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.45 malam, hari sama.

Katanya, pengadu menyedari bungkusan kirimannya hilang kira-kira jam 8 malam sebelum tampil membuat laporan polis.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu berjaya menahan seorang suspek lelaki di kawasan perumahan berkenaan kira-kira jam 7.15 pagi, semalam.

“Turut dirampas bungkusan kiriman yang disyaki dicuri suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Simiun berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kegiatan jenayah dapat dibendung serta keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis. – Info X