LABUAN: Seorang pemilik kenderaan terkejut apabila menemui seekor anak ular sawa berlingkar di panel meter kenderaannya di Jalan Lopak Sajuk, Kampung Sungai Labu, di sini semalam.
Kehadiran reptilia itu disedari pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger ketika hendak menggunakan kenderaan berkenaan.
Reptilia itu dipercayai masuk ke dalam kenderaan tanpa disedari hingga menimbulkan kebingungan kepada pengadu mengenai kehadiran ular masuk ke dalam ruang kenderaan yang tertutup.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.23 pagi.

“Pasukan APM Labuan yang tiba di lokasi segera menjalankan prosedur untuk menangkap ular berkenaan.
“Ular sawa itu berjaya ditangkap dan menyelesaikan operasi itu tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang ingin melaporkan kejadian atau memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi APM Labuan di talian kecemasan 087-415440. – Info X