Search

Keputusan Mahkamah Perancis berita gembira untuk Sabah – Ketua Menteri

November 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyambut baik keputusan Mahkamah Tertinggi Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran difailkan individu mendakwa pewaris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud, terhadap negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, turut mengalu-alukan berita gembira yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melalui akaun media sosialnya.

Menerusi satu kenyataan, di sini, Hajiji mengulangi pendirian tegas kerajaan negeri tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap negeri itu yang dilakukan mana-mana pihak luar.

“Kerajaan negeri sekali lagi menegaskan bahawa kita tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap Sabah kerana kita adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azalina atas usaha untuk membatalkan anugerah akhir oleh penimbang tara Sepanyol.

Azalina dalam hantaran beliau menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan bersejarah dan signifikan kepada negara. – Info X