Search

UMNO Sabah kecam tindakan Israel halang bantuan kemanusiaan ke Gaza

October 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengecam keras tindakan rejim Israel menahan sukarelawan antarabangsa yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata walaupun Kementerian Luar Israel memaklumkan akan menghantar sukarelawan terbabit, persoalan paling asas tetap perlu dijawab.

“Persoalannya, mengapa bantuan kemanusiaan dihalang daripada sampai kepada rakyat Gaza yang sedang menderita?

“Penahanan ini adalah satu pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, prinsip kebebasan navigasi dan hak asasi manusia.

“Kapal flotila ini tidak membawa senjata, tidak mengancam keselamatan mana-mana negara, sebaliknya membawa ubat-ubatan, makanan dan bantuan asas yang amat diperlukan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, tindakan Israel menahan sukarelawan antarabangsa membuktikan keangkuhan mereka dalam mempolitikkan bantuan kemanusiaan serta usaha sistematik untuk mengekalkan sekatan zalim ke atas Gaza.

Katanya, UMNO Sabah menegaskan bahawa isu itu bukan hanya soal penahanan sementara atau penghantaran pulang sukarelawan, tetapi menyentuh masalah yang lebih besar iaitu sekatan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza.

Tegas Bung Moktar, elagi bantuan kemanusiaan disekat, selagi itu rakyat Palestin terus dihukum secara kolektif.

“Rejim Israel tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan keselamatan untuk menafikan hak hidup rakyat Palestin dengan bermaruah.

“Kami mendesak komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), agar segera mengambil tindakan terhadap rejim Israel atas pencabulan undang-undang antarabangsa ini.

“Penahanan kapal awam di perairan antarabangsa adalah jenayah unilateral, manakala sekatan berterusan ke atas Gaza jelas bertentangan dengan Resolusi PBB 1860 (2009) dan Resolusi 2417 (2018).

“UMNO Sabah berdiri teguh bersama semua sukarelawan flotila dan rakyat Palestin yang berjuang menuntut hak mereka. Keberanian dan ketabahan sukarelawan antarabangsa ini adalah simbol solidariti kemanusiaan menentang penindasan,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap isu Gaza dan Palestin.

“Persoalannya kini adakah masyarakat antarabangsa berani bertindak untuk memastikan keadilan ditegakkan, atau terus membiarkan bantuan kemanusiaan dihalang,” katanya. – Info X