Search

UMS tekankan nilai adab warga kampusnya

January 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menekankan nilai adab dan minda progresif dalam kalangan warga kampusnya sebagai kunci setiap usaha ke arah memacu dan menjayakan agenda kecemerlangan universiti itu.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata nilai adab penting sebagai teras utama yang perlu dimiliki setiap warga universiti itu bagi mendepani cabaran tahun baharu 2025.

“Adab bukan sekadar kesopanan tetapi ia adalah penghormatan kita terhadap ilmu, sesama manusia, dan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Selain mengukuhkan nurani dengan adab, kita juga perlu bergerak ke arah ‘growth mindset’.

“Adab membentuk asas nilai diri, manakala ‘growth mindset’ mendorong kita untuk sentiasa berkembang, belajar daripada pengalaman dan melihat cabaran sebagai peluang untuk maju,” katanya dalam perutusannya sempena Tahun Baharu 2025.

Kasim berkata, dalam ekosistem universiti, ‘growth mindset’ bermakna warga universiti tidak takut untuk mencuba perkara baharu, belajar dari kesilapan dan berkembang melangkaui batasan diri.

Bagi mencapai perkara itu, katanya ahli akademik perlu mengasah minda mahasiswa supaya berani memberi berfikir, bertanya dan bercita-cita besar.

“Ahli akademik adalah suluh budiman, menyuluh pelajar meneroka laluan peta yang belum dilakar, menunjuk arah tetapi tidak memaksakan pilihan dan amanah ini menjadi amal jariah, sumbangan abadi melangkau generasi.

“Mahasiswa memandang ahli akademik sebagai teladan, justeru tunjukkan bahawa kekuatan intelektual itu bermula dengan adab dan kebijaksanaan itu lahir daripada kesabaran,” katanya.

Tambah beliau, pentadbir universiti juga perlu memastikan segala urusan pentadbiran berjalan lancar supaya semua warga kampus dapat menjalankan tugas dengan baik.

Katanya, pentadbir universiti adalah penjaga sistem yang memastikan dasar dan prosedur dilaksanakan dengan baik kerana setiap keputusan memberi kesan besar kepada perjalanan universiti.

“Sumbangan anda semua adalah nadi yang menghidupkan universiti dan menjadikannya tempat di mana kecemerlangan ilmu dan nilai manusiawi bertemu,” katanya.

Beliau berkata, UMS akan meneruskan usaha mengukir keunggulan dan memperkasa ekosistem ke arah kecemerlangan universiti sepanjang tahun ini. – Info X