KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, import beras seharusnya diurus sendiri negeri ini dengan pendekatan yang lebih rapi berdasarkan landskap sosial dan keunikan geografinya.
Katanya, monopoli import beras yang ketika ini dipegang Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) perlu ditamatkan agar negeri ini boleh mengimport sendiri bahan makanan ruji itu.
Beliau berkata, sudah tiba masanya Sabah bebas daripada kekangan monopoli entiti tunggal yang sudah begitu lama mencorak pasaran tempatan.
“Saya percaya perubahan ini dapat merangsang persaingan dan membawa kepada bekalan beras yang lebih stabil dan mungkin harga yang lebih rendah kepada pengguna di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata demikian sebagai mengulas isu peningkatan harga beras import susulan tindakan BERNAS menaikkan harga bahan makanan itu, baru-baru ini.
Katanya, beliau membuat cadangan untuk mengurus sendiri import beras berikutan kebimbangan orang ramai di negeri ini mengenai jangkaan peningkatan harga beras putih import hingga 36 peratus seperti diumumkan BERNAS.
Peningkatan harga itu, katanya bukan saja mengganggu kestabilan perbelanjaan isi rumah, malah boleh menjejaskan kebajikan keluarga berpendapatan rendah.
“BERNAS mesti telus dalam mekanisme harga dan tahap bekalan berasnya. Orang ramai berhak untuk mengetahui bagaimana harga ditentukan dan apa pendekatan diambil bagi menstabilkan pasaran,” katanya.
Selain itu, Jeffrey berkata BERNAS patut mengeluarkan stok tambahan daripada simpanannya memandangkan ia bukan aset perniagaan semata-mata.
Katanya, simpanan beras adalah sumber awam, khususnya ketika peningkatan permintaan atau berlaku ketidakstabilan pasaran seperti sekarang.
“Sudah tentu semua perniagaan mahu menjana untung tetapi BERNAS mengendalikan bahan keperluan asas, jadi keuntungan tidak boleh datang dengan mengorbankan keperluan asas rakyat,” katanya.
Berdasarkan data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, katanya, import beras di Sabah mencapai 290,000 tan metrik, termasuk simpanan pada 2021, manakala pengeluaran beras tempatan hanya berjumlah 22,000 tan metrik.
Jeffrey berkata, kementeriannya sedang berusaha untuk mengurangkan pergantungan negeri ini terhadap beras import menerusi pelbagai projek di bawah inisiatif pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, usaha itu bagi mencapai sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi dan beras di negeri ini kepada 60 peratus pada 2030.
Antara langkah yang diambil, katanya ialah dengan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah bagi membantu petani meningkatkan pengeluaran padi menerusi pembukaan semula sawah padi terbiar dan menaik taraf sistem pengairan sedia ada.
“Kita berharap rakyat Sabah dapat bersabar, ia tidak dapat menyelesaikan segera krisis yang berlaku sekarang tetapi kita akan membangunkan Sabah ke arah lebih berdaya tahan dan berdikari,” katanya. – Info X