KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah berada di landasan betul untuk mendapatkan hak negeri berhubung tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi kenaikan peruntukan interim atau bayaran khas kepada RM300 juta pada tahun ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kenaikan pemberian khas untuk Sabah dan Sarawak itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.
“Yakinlah bahawa kita tidak akan berhenti sehingga Sabah mendapat apa yang menjadi miliknya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pendirian Kerajaan Negeri ialah Sabah tidak pernah melepaskan haknya terhadap 40 peratus hasil yang dikutip dari negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bayaran khas RM300 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan itu adalah satu penyelesaian yang bersifat interim.
Katanya, seperti dijelaskan Fadillah, rundingan masih dijalankan menerusi jawatankuasa berasingan bagi menentu dan memuktamadkan formula untuk bayaran khas tahunan kepada Sabah dan Sarawak dalam masa setahun.
Hajiji berkata, Sabah akan terus memperjuangkan kelayakan bayaran khas mengikut Perkara 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV Jadual Kesepuluh, selain Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan itu, katanya menyediakan formula dan semakan terhadap kelayakan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 semalam, Fadillah mengumumkan bahawa Sabah dan Sarawak akan menerima bayaran khas RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.
Jumlah itu menunjukkan kenaikan RM40 juta berbanding RM260 juta yang diumumkan Putrajaya pada Januari lalu, yang akan dibayar secepat mungkin. – Info X